Ribut landa Taman Rinting, kenderaan dihempap pokok - Utusan Malaysia

Ribut landa Taman Rinting, kenderaan dihempap pokok

ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam memotong pokok yang tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang sehingga mengakibatkan sebuah kereta rosak teruk di Taman Rinting, Masai di Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Hujan lebat berserta ribut petir selama kira-kira dua jam mengakibatkan beberapa batang pokok tumbang dan menghempap kenderaan di Taman Rinting, Masai di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu merosakkan empat buah kenderaan milik penduduk yang terletak di kawasan perumahan di Jalan Balau, di sini.

Malah, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa gerai menjual makanan di tapak penjaja berhadapan Masjid Taman Rinting turut rosak akibat bencana itu.

Difahamkan, para penjaja tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaan mereka berikutan angin kencang berserta hujan lebat selama satu jam di kawasan itu.

Sementara itu, seorang penduduk di Flat Balau, Adnan Abd. Rahman, 60, berkata, ketika kejadian dia baru selesai solat Asar sebelum tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat.

Sebaik sahaja menjenguk dari tingkap rumahnya di Blok E , Adnan melihat tiga kenderaan termasuk kereta jenis Proton BLM miliknya dihempap dahan pokok yang patah akibat dipanah petir.

“Ketika itu angin sangat kuat, saya yang berada di dalam rumah segera melihat di luar rumah kerana merasakan seperti bunyi pokok yang patah.

“Memang benar sangkaan saya kerana pokok tersebut menghempap kereta saya dan penduduk lain yang terletak berdekatan,” katanya ketika ditemui di sini.

SEORANG peniaga mengambil peralatan gerainya yang terjejas akibat angin kencang di tapak penjaja di Taman Rinting, Masai di Johor. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Dalam pada itu, Ahli Majlis Zon Rinting 2, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Mohd. Azizi Mohamad turut meninjau keadaan ribut di kawasan perumahan itu dan melaksanakan tindakan segera bagi membersihkan pokok tumbang.

“Kejadian ini berlaku di sekitar Taman Rinting termasuk gerai-gerai penjaja, jumlah peniaga dan kerosakan yang terlibat sedang dikenal pasti dan difahamkan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya