KOTA BHARU: Tempoh reman pegawai penyiasat polis berpangkat Inspektor yang dipercayai merogol janda di Ibu pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini pada minggu lalu disambung tiga hari.
Perintah reman bermula hari ini hingga 14 Jun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Amni Johari di bilik reman Kompleks Mahkamah Kota Bharu di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, lanjutan perintah reman itu dilakukan terhadap suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan kesalahan melakukan seks luar tabii,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pegawai cawangan narkotik berusia 29 tahun direman selama empat hari mulai 9 Jun hingga hari ini selepas disyaki memaksa seorang tahanan wanita melakukan seks oral sebelum merogolnya.
Perbuatan itu berlaku pada pukul 3 petang selepas wanita tersebut dibawa ke pejabat suspek dari lokap Balai Polis Pengkalan Chepa di sini.
Siasatan awal mendapati, wanita itu ditahan bersama bekas suaminya selepas dipercayai memiliki pil kuda dan syabu pada Jumaat lalu.
Suspek memaklumkan kes memiliki dadah itu boleh diselesaikan sekiranya wanita tersebut menuruti kehendaknya. – UTUSAN