KUALA PILAH: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya.
Tertuduh yang berusia 18 tahun itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, pada 31 Mei lalu lebih kurang pukul 2 pagi bertempat di sebuah restoran makanan segera di Pusat Perniagaan Kiara Bahau di Jempol, remaja berkenaan telah memiliki senjata berbahaya iaitu sebatang besi kuku kambing dan sebatang pemutar skru panjang.
Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Kesalahan tersebut memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.
Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 17 Ogos depan bagi menunggu laporan sosial dan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM3,000.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enterianak Mawan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan kedai di sekitar Bahau dan Batu Kikir, Jempol sejak 26 Mei lalu berjaya ditangkap pada awal pagi 31 Mei lalu. – UTUSAN