Remaja lelaki mengaku salah empat pertuduhan miliki, alih harta curi - Utusan Malaysia

Remaja lelaki mengaku salah empat pertuduhan miliki, alih harta curi

SEORANG remaja lelaki (depan) dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu, Negeri Sembilan bagi didakwa atas empat pertuduhan memiliki dan mengalihkan harta curi membabitkan empat kes berasingan dari 27 Mei hingga 31 Mei lalu.- UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas empat pertuduhan memiliki dan mengalihkan harta curi membabitkan empat kes dari 27 Mei hingga 31 Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 18 tahun itu membuat pengakuan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Hidayat Wahab.

Mengikut pertuduhan pertama iaitu pada 31 Mei lalu, lebih kurang 3.15 pagi, remaja berkenaan didapati dengan sengaja mengalihkan satu kamera digital yang dirampas di rumahnya di Taman Tunku Puan Chik Bahau yang dilaporkan hilang pada 27 Mei lalu di sebuah kedai alat tulis di Bahau, Jempol dengan menyedari atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi.

Bagi pertuduhan kedua, iaitu pada 29 Mei lebih kurang pukul 8.50 pagi, bertempat di kedai barang-barang lusuh Jalan Rompin-Bahau, Jempol, tertuduh dengan sengaja memindahkan harta curi iaitu sebuah komputer riba milik seorang wanita yang diketahui sebagai harta curi.

Kemudian, bagi pertuduhan ketiga, pada 31 Mei lebih kurang pukul 3.15 pagi, tertuduh didapati dengan sengaja mengalihkan dua utas rantai leher, satu rantai tangan dan tiga bentuk cincin yang dirampas di rumah tertuduh yang dilaporkan hilang pada 30 Mei lalu di sebuah rumah di Taman Tunku Puan Chik Bahau, Jempol dengan menyedari atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa harta tersebut adalah harta curi.

Pertuduhan terakhir, pada 31 Mei lebih kurang pukul 10.15 pagi, bertempat di sebuah kedai tingkat bawah jalan Kempas Utama, Pusat Perniagaan Kempas Bahau, Jempol, tertuduh dengan sengaja mengalihkan harta curi iaitu sebuah beg kamera dan pelbagai jenis rokok elektronik berserta pelbagai aksesori dan cecair rokok elektronik milik seorang lelaki yang diketahui tertuduh sebagai harta curi.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan mengalihkan harta curi.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 9 Julai depan bagi menunggu laporan sosial dan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,500 bagi keseluruhan empat pertuduhan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semalam, remaja berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya dan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah dan kedai di sekitar Bahau dan Batu Kikir, Jempol sejak 26 Mei lalu berjaya ditangkap pada awal pagi 31 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya