GOIANIA, Brazil: Buat kali pertama, Brazil gagal mencatat kemenangan dalam 11 perlawanan, namun keputusan seri 1-1 dengan Ecuador sudah memadai untuk memastikan mereka mara ke suku akhir Copa America selaku juara Kumpulan B semalam.
Skuad Selecao tidak pernah gagal menang sejak tewas 0-1 kepada Argentina dalam aksi persahabatan pada November 2019.
Sudahpun mengesahkan tiket suku akhir lebih awal, Brazil bagaimanapun merehatkan beberapa pemain utama, termasuk Neymar bagi memberi peluang kepada Gabriel Barbosa, Everton, Douglas Luiz, Fabinho serta Douglas Luis mengisi kesebelasan utama.
Semangat juang tinggi Ecuador untuk memburu mata dan mengelak tersingkir awal membolehkan mereka mengikat tuan rumah.
Brazil menguasai babak pertama dan Eder Militao meletakkan juara bertahan itu di depan pada minit ke-35 apabila menanduk bola hasil sepakan bebas yang gagal diselamatkan penjaga gol Ecuador, Hernan Galindez.
Ecuador bangkit melawan sebaik saja separuh masa kedua bersambung dan mereka akhirnya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-53 menerusi Angel Mena yang menerima hantaran Enner Valencia sebelum menewaskan penjaga gol Brazil, Alisson.
“Kami bermain lebih baik pada babak pertama berbanding separuh masa kedua. Pasukan berjaya meneruskan gaya permainan.
“Apa pun, sekarang kami sudah memasuki peringkat penting kalah mati. Kami perlu bekerja lebih keras dan memberi segala-galanya yang kami ada,” kata pertahanan Brazil, Marquinhos.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, pasukan yang dibayangi Covid-19, Venezuela akhirnya ditunjukkan jalan keluar selepas tumpas 0-1 kepada Peru untuk menutup kempen tanpa sebarang kemenangan. – AGENSI