Ratusan ikan ditemui mati di Sungai Damansara, IWK siasat segera - Utusan Malaysia

Ratusan ikan ditemui mati di Sungai Damansara, IWK siasat segera

PEKERJA kontraktor melakukan kerja pembuangan bangkai ikan di Sungai Damansara Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) mengambil tindakan proaktif serta-merta berikutan keluhan orang ramai di media sosial sejak semalam mengenai kejadian ratusan ikan yang ditemui mati di Sungai Damansara, dekat sini.

IWK menerusi kenyataan di laman Twitternya berkata, pasukan operasi daripada Pejabat Operasi di Shah Alam menjalankan siasatan segera dengan menganalisis sampel efluen daripada beberapa asetnya di sepanjang sungai berkenaan.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan menunjukkan kesemua efluen daripada loji rawatan kumbahan IWK menepati parameter yang ditetapkan.

“Berikutan dengan keluhan orang ramai di media sosial mengenai kejadian ratusan ikan ditemukan mati di Sungai Damansara sejak pagi tadi, IWK ingin memaklumkan inisiatif proaktif yang telah dijalankan.

“Hasil menunjukkan kesemua efluen daripada loji rawatan kumbahan IWK menepati parameter yang ditetapkan. Bagaimanapun, pemantauan rapi diteruskan,” katanya.

Semalam tular di laman media sosial Twitter apabila beberapa pengguna memuat naik gambar dan video ratusan ikan yang dilihat terapung di sepanjang Sungai Damansara bermula dari sungai berdekatan Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) Jaya sehingga di kawasan kilang arak di Seksyen 15, di sini.

Pengguna @visithra manikam melahirkan rasa marah apabila mendakwa sikap manusia yang tidak menjaga alam sekitar membuatkan banyak kehidupan lain yang terkesan dengan pencemaran yang dilakukan.

Katanya, bukan sahaja ikan yang hidup di dalam sungai menerima kesan tempiasnya tetapi keseluruhan ekosistem yang tinggal di dalam sungai terbabit.

Seorang lagi pengguna, nr @jebatadura turut memuat naik kenyataan yang menunjukkan ratusan ikan mati yang dilihat berlaku berhampiran kawasan kediamannya di TTDI Jaya.

“Ratusan ikan mati di Sungai Damansara, TTDI Jaya, Shah Alam. Kejadian berlaku berdekatan rumah aku.

“Gambar diambil pukul 11 pagi tadi (semalam). Tak tahu apa punca. Sudah buat aduan kepada @jasmalaysia, harap tindakan diambil segera,” katanya.

Pengguna twitter, laksamana hang pasaipa @dannylicious turut melahirkan kebimbangan mengenai tahap pencemaran sungai terbabit.

“Ikan bandar raya yang boleh hidup dekat dalam air yang kotor pun mati, cuba bayangkan betapa toksiknya air sungai itu,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa kerja pembersihan dilakukan oleh kontraktor dilantik bagi mengeluarkan bangkai ikan yang terapung di sepanjang sungai berkenaan.

Bau busuk yang dikeluarkan menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran tidak selesa.

Difahamkan pihak Jabatan Alam Sekitar akan mengeluarkan kenyataan mengenai kejadian itu hari ini. Usaha untuk mendapatkan maklum balas daripada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan,Alam Sekitar & Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian tidak berhasil apabila beliau tidak membalas pertanyaan menerusi aplikasi WhatsApp.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya