KUALA LUMPUR: Seorang penolong juruukur Majlis Perbandaran Selayang (MPS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah RM5,600 berhubung pembocoran maklumat sebut harga anggaran tender jabatan, empat tahun lalu.
Bagaimanapun Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil, 42, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai Penolong Juruukur Bahan di MPS telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM5,600 daripada
seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam akaun simpanannya.
Wang rasuah itu didakwa sebagai upah agar tertuduh membocorkan maklumat sebut harga anggaran jabatan kepada lelaki tersebut.
Difahamkan, sebut harga yang dibocorkan itu adalah berkaitan dengan tender.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kuala Lumpur di Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini masing-masing pada 22 April dan 16 Ogos 2017.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Tengku Kamarul Ariffin didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan melibatkan kesalahan sama mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Tertuduh turut diminta dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Dalam prosiding itu, peguam Chris Kooi Wei Kit yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan serta bersetuju dengan syarat-syarat tambahan yang ditetapkan.
Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Tarikh 16 Julai ini ditetapkam untuk sebutan kes dan serahan dokumen.