Rangkaian putus-putus tak halang raih 8A, 1B - Utusan Malaysia

Rangkaian putus-putus tak halang raih 8A, 1B

MUHAMMAD Afif Mohd. Azmi menunjukkan keputusan 8A, 1B yang diraihnya dalam SPM ketika dihubungi di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Gangguan rangkaian yang sekali-sekala terputus ketika mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tempoh pandemik Covid-19 tidak menghalang seorang pelajar meraih keputusan cemerlang 8A dan 1B yang diumumkan semalam.

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, Pasir Gudang itu berkata, dia juga memberi fokus yang lebih ketika dua bulan menjelang peperiksaan itu, sebelum ini.

Muhammad Afif Mohd. Azmi, 18, yang kini menjadi pelayan sebuah restoran di Kota Masai berkata, dia hanya mampu mengungkapkan perkataan syukur apabila memperoleh keputusan cemerlang tersebut kerana memikirkan kesukaran sepanjang menjalani PdPR.

“Belajar ketika pandemik Covid-19 memang mencabar, tetapi, itu bukan alasan untuk kita leka atau terus mengalah tetapi menjadikannya sebagai satu ujian dan cabaran untuk kita terus melangkah jauh.

“Memang diikutkan semasa PdPR sukar nak dapatkan rangkaian sebab selalu putus-putus tetapi itu bukan halangan dan kalau tertinggal saya dapatkan balik secara personal dengan guru. Saya belajar macam orang lain juga cuma dua bulan sebelum peperiksaan sebenar saya buat pecutan terakhir, lebih fokus,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Muhammad Afif yang mengambil aliran sains tulen itu berkata, dia juga terpaksa menerima hakikat tidak dapat berkongsi keputusan tersebut dengan rakan-rakan dan guru di sekolah seperti calon-calon terdahulu ekoran keadaan pandemik yang masih belum reda.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia berterima kasih atas iringan doa ibu bapa, keluarga, guru-guru serta rakan-rakan yang banyak memberi dorongan selain bertukar pendapat.

Katanya, dia bercadang akan menyambung pelajaran dalam bidang sains perubatan atau kejuruteraan sama ada di peringkat Matrikulasi ataupun Program Asasi di mana-mana universiti awam selepas ini.

“Insya-Allah kalau diizinkan saya akan sambung pelajaran di universiti awam untuk merealisasikan cita-cita saya untuk bergelar seorang pensyarah satu hari nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya