PUTRAJAYA: Jumlah pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam merekodkan 852 individu diberkas dengan 821 daripadanya dikompaun manakala 31 lagi direman.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan paling tinggi ialah tiada penjarakan fizikal sebanyak 175 kes diikuti tidak memakai pelitup muka, 143 kes; gagal merekod butiran sebelum masuk premis (129); tidak patuh arahan PKP (94); membawa penumpang secara berlebihan dalam kenderaan (45) dan lain-lain lagi (266 kes).
Seramai 18 pendatang asing tanpa izin ditahan dan sembilan kenderaan darat dirampas melalui Operasi Benteng selain 173 bot yang dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan pasukan keselamatan.
“Seramai 605 individu yang tiba di tanah air semalam diarah kuarantin bersama sejumlah 7,458 individu masih lagi berada di pusat kuarantin wajib di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada pekerja asing yang disahkan positif Covid-19 daripada 34 orang melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia.