Ramai dijangka guna laluan tikus pada musim durian - Utusan Malaysia

Ramai dijangka guna laluan tikus pada musim durian

BARUDIN WARISO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Polis menjangkakan ramai individu akan menggunakan laluan tikus di daerah ini bagi merentas daerah untuk ke kebun durian berikutan musim raja buah itu sudah bermula.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, berikutan itu polis akan memperketat kawalan di lima laluan tikus yang dikenal pasti di daerah ini.

“Lima laluan tikus telah dikenal pasti melibatkan kemasukan dari daerah luar seperti Kuala Kangsar, Manjung, Kampar dan Batu Gajah, Ipoh.

“Walaupun laluan tikus ini tidak ada sekatan jalan raya, tetapi kita ada pasukan yang membuat pemantauan, rondaan dan pemeriksaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah kilang di Seri Iskandar,  di sini, hari ini.

Menurut Barudin, sebanyak 43 kompaun dikeluarkan polis melibatkan kesalahan merentas daerah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun hingga hari ini.

“Sebanyak 117 kompaun dikeluarkan pihak polis di daerah ini dan daripada jumlah tersebut 43 kompaun adalah melibatkan kesalahan merentas daerah menggunakan laluan tikus.

“Bakinya pula melibatkan kesalahan tidak memakai pelitup muka serta tidak mematuhi penjarakan sosial yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, polis turut menerima alasan yang tidak munasabah daripada mereka yang menggunakan laluan tikus.

“Bermacam-macam alasan diberikan kadangkala kita rasa tidak logik termasuklah tidak tahu sempadan antara daerah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya