KUALA LUMPUR: Pelakon hebat, Fimie Don, meluahkan bahawa hari ini ramai orang yang hilang kewarasan lalu mengambil keputusan menamatkan riwayat hidup dek tertekan dengan keperitan yang dialami.
“Aku tidak mendorong mahu pun mengajak sesiapa sahaja untuk melakukan perbuatan terkutuk (bunuh diri) itu, mengambil nyawa itu kerja tuhan. Terlalu ramai sahabat, saudara kita mengambil alih kerja tuhan. Mungkin mereka tidak punya bahu untuk menumpang kasih, jangan bimbang, aku ada,” katanya.
Dalam entri sama, Fimie atau Shafimie Saedon, 23, turut berkongsi sepotong ayat al-Quran yang melarang perbuatan tercela itu.
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu,” tulisnya memetik surah al-Baqarah ayat 195.
Menurut pemenang trofi Pelakon Remaja Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM23) itu, hantaran video di Instagramnya (IG) dikongsi semula dengan penyampaian cara tersendiri selepas dilihat kandungan seumpama itu di TikTok.
“Sebagai pencerahan, ini bukan idea asal. Saya hanya buat semula. Tahniah yang mencetuskan idea kreatif tersebut,” pujinya.
Hasil perkongsian itu, tinjauan Utusan Malaysia di ruangan Instagram mendapati ramai yang terkesan dengan penyampaian pelakon muda itu dan berterima kasih kepadanya kerana kandungan tersebut sedikit sebanyak melegakan beban yang terpikul.