PETALING JAYA: Sumber rezeki nelayan terjejas selain kesan kepada alam sekitar serta ancaman terhadap keselamatan makanan rakyat dari hasil laut menyebabkan Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) digesa supaya dibatalkan.
Justeru Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa menghentikan projek berkenaan yang pada asalnya bertujuan menjana sumber kewangan bagi menanggung kos projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIPPP).
Malah, PSR yang dikatakan bakal membawa masuk pelaburan asing bernilai RM70 bilion itu juga didakwa tidak lagi bertujuan membiayai PIPPP, sebaliknya lebih banyak menumpukan kepada kepentingan pihak swasta.
Hal itu ditegaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang memberitahu gesaan pembatalan itu dinyatakan secara berterusan oleh para nelayan tempatan serta puluhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ternyata, cadangan projek PSR tidak pernah mendapat sokongan dan dokongan penuh rakyat. Petisyen awam ‘Save Penang! Reject the 3-Islands Reclamation’ untuk pembatalan projek ini mendapat lebih 116,000 pernyataan sokongan setakat hari ini.
“Saya secara peribadi tidak pernah bersetuju dengan projek PSR. Isu dan suara bantahan ini dinyatakan sendiri di Dewan Rakyat pada 2019. Saya kekal dengan pendirian yang sama, bahawa projek tambakan ini tidak wajar diteruskan oleh kerajaan negeri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.
Tambah Reezal Merican, beliau bersetuju dengan dengan pendirian serta ketegasan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang mendakwa projek berkenaan kini tersasar daripada matlamat asalnya.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Nurul Izzah membantah projek PSR yang menjadi pendokong projek PIPPP bagi membina lebuhraya mega merentasi bukit dan sungai, transit aliran ringan (LRT), monorel, skycab dan pelan tambakan laut.
Projek yang diumumkan pada 2015 itu dikatakan dibiayai oleh dan dikendalikan oleh usaha sama 70-30 antara SRS Consortium Sdn Bhd selaku rakan penyampaian projek PSR dan kerajaan negeri.
Justeru, Reezal yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (MTPNg) memberitahu, akan menyuarakan bantahan dalam mesyuarat jawatan kuasanya serta mengemukakan pandangan balas kepada kerajaan negeri.
“Suara bantahan dan pandangan balas terhadap projek dibawa kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat. Saya amat berharap kerajaan negeri dapat meneliti segala desakan dan gesaan berkaitan projek ini dengan lebih serius.
“Hakikatnya, suara dan pendirian rakyat tidak wajar diketepikan sama sekali dalam pelaksanaan projek yang berskala besar dan bakal mendatangkan banyak keburukan jangka panjang seperti PSR ini,” katanya. – UTUSAN