Program vaksin sektor industri, kilang dua minggu lagi - Utusan Malaysia

Program vaksin sektor industri, kilang dua minggu lagi

KHAIRY Jamaluddin (kiri) dan Chow Kon Yeow (dua dari kiri) sewaktu meninjau persediaan PPV di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat akan melancarkan program pemberian vaksinasi Covid-19 bagi pekerja sektor perindustrian dan perkilangan dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya telah berbincang dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung cadangan tersebut dua hari lalu.

Di Pulau Pinang jelas beliau, program itu dirancang dilaksanakan menerusi pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di kawasan perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan dekat sini.

“Program ini bagi memastikan pekerja kilang yang terpaksa bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat diberikan kemudahan vaksin untuk melindungi mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau persediaan PPV di Spice Arena, Bayan Lepas di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

PPV Spice Arena itu merupakan PPV mega pertama di negeri ini dan akan mula beroperasi pada 7 Jun ini dengan sasaran pemberian vaksin kepada antara 1,000 hingga 3,000 orang sehari pada peringkat awal pelaksanaannya.

Dalam pada itu Khairy berkata, pihaknya akan meningkatkan penghantaran bekalan vaksin kepada Pulau Pinang pada Julai dan Ogos ini bagi memastikan program pemberian vaksin kepada penduduk negeri ini dapat dipercepatkan.

Sehubungan itu jelasnya, beberapa PPV awam akan dibuka termasuk di Tapak Pesta, Sungai Nibong di sini minggu depan selain tiga PPV hospital swasta yang turut beroperasi 7 Jun ini iaitu Hospital KPJ Penang; Hospital Pantai dan Hospital Lim Wah Ee.

Dalam pada itu Khairy berkata, pihaknya akan meneliti cadangan pembukaan pusat vaksin secara pandu lalu termasuk yang dicadangkan untuk dibuka di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini.

Jelas beliau, terdapat garis panduan tertentu bagi pembukaan pusat itu termasuk memastikan tidak menyebabkan berlakunya kesesakan trafik memandangkan mereka yang menerima suntikan masih perlu dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 15 minit.

Berhubung permintaan kerajaan negeri dan hospital swasta untuk membeli vaksin sendiri, Khairy sekali lagi menegaskan Kerajaan Pusat tidak menghalang mana-mana pihak untuk berbuat demikian.

Katanya, kebenaran itu termasuk untuk membawa masuk mana-mana vaksin yang sudah diberi kelulusan Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

“Cuma bagi tiga jenis vaksin yang digunakan Kementerian Kesihatan ketika ini iaitu Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, bekalan vaksin ini perlu dipenuhi kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu sebelum boleh dibeli pihak lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya