KUALA LUMPUR: Lanjutan Program Subsidi Upah (PSU) selama sebulan tidak memberi manfaat kepada majikan dan pekerja yang belum berdaftar atau mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Sebaliknya, lanjutan program yang diumumkan kerajaan kelmarin hanya membantu mereka yang sudah mendaftar dan menerima pembayaran dalam tempoh lebih enam bulan sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan akan kebajikan mereka yang sedang bekerja namun terkesan akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
“Apa bantuan yang diterima oleh pekerja yang sedang bekerja tetapi terpalit dalam sekatan pergerakan penuh? Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pun mewartakan peruntukan bantuan baharu dan subsidi upah untuk pekerja swasta.
“Pekerja yang masih dalam sistem dan menerima skim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) juga tidak terbabit dalam subsidi lanjutan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam Muhyiddin mengumumkan program bantuan PEMERKASA Tambahan berjumlah RM40 bilion termasuk pemberian moratorium selama tiga bulan dan antara lain inisiatifnya adalah melanjutkan PSU di bawah Perkeso selama satu bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos melibatkan RM1.5 bilion sekali gus memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja dan 200,000 majikan.
PSU pertama kali dilancarkan pada 1 April 2020 merangkumi bantuan kewangan selama enam bulan dan dilanjutkan selama tiga bulan di bawah PSU 2.0 kepada majikan setiap perusahaan bagi setiap pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah.
Mengulas lanjut, Abdul Halim turut berkata, kerajaan pada awalnya memaklumkan hanya 60 peratus tenaga kerja berada di lapangan kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun, menurutnya, kerajaan tidak mempunyai perancangan jelas tentang pembayaran gaji untuk pekerja yang tidak bekerja sepanjang tempoh berkenaan malah kerajaan telah mengenepikan peranan yang dibawa MTUC bagi mewakili majikan dan pekerja seperti PKP pertama pada Mac tahun lalu.
“Kali ini, tindakan yang sama juga terjadi apabila rakan sosial MTUC dan majikan tidak dipanggil untuk bersama-sama memberikan pendapat sebagai persediaan dan keperluan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.
“Sekatan kali kedua ini juga sebenarnya tiada perancangan untuk membantu pekerja yang kehilangan punca pendapatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pemberian PSU kali ketiga dapat membantu majikan dan pekerja untuk terus bertahan sepanjang tempoh genting akibat sekatan pergerakan penuh.
“Daripada tiada bantuan langsung, ini sudah memadai. Tempoh sebulan PSU ini diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan.
“Kita juga faham kekangan yang dihadapi kerajaan, jika ia tidak mencukupi, mungkin selepas ini kerajaan boleh mempertimbangkan untuk lanjutan tambahan lagi,” katanya. – UTUSAN