Produk kesihatan tidak berdaftar RM2.07 juta dirampas - Utusan Malaysia

Produk kesihatan tidak berdaftar RM2.07 juta dirampas

PEMERIKSAAN bungkusan pos yang dijalankan KKM baru-baru ini bagi mengesan penjualan produk farmaseutikal terlarang secara dalam talian. - IHSAN KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 61,864 unit produk kesihatan tidak berdaftar termasuk produk mengandungi bahan psikotropik bernilai RM2.07 juta dalam Operasi Pangea XIV yang bermula 18 hingga 25 Mei lalu. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan serbuan ke atas 94 premis perniagaan yang terlibat dalam penjualan produk farmaseutikal tidak berdaftar secara dalam talian. 

Beliau berkata, pihaknya mendapati terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform dalam talian dalam operasi kali ini. 

Menurutnya, sepanjang operasi itu, sebanyak 157 bungkusan pos mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar berjumlah RM108.352 dirampas. 

“Turut dirampas dalam serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian ini adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952. 

“Sebanyak 18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik. 

“Selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM,” jelasnya. 

Tambah Noor Hisham, pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri. 

“Sejumlah 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM42,213. 

“Selain itu, sebanyak 2,600 laman web termasuk ‘dark web’ dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dipantau, disiasat dan diambil tindakan,” katanya. 

Katanya lagi, Operasi Pangea XIV juga menunjukkan bahawa penjual yang tidak bertanggungjawab terus mengambil peluang mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak Covid-19. 

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan Covid-19 banyak dijual di dalam talian. 

“Peralatan lain yang dikesan ialah pelitup muka, termometer, sarung tangan, gaun pembedahan, kit ujian Covid-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan,” katanya. 

Beliau mengingatkan pengguna supaya memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut. 

Katanya, status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan ‘Product Status’ atau dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722. 

Selain itu, ujar beliau, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya