PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyediakan pelbagai kaedah alternatif pembayaran zakat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga 14 Jun ini.
Ini berikutan ibu pejabat dan 10 kaunter PPZ-MAIWP ditutup selaras dengan penutupan sektor sosial dan ekonomi itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hakim Amir Osman berkata, penutupan operasi bersemuka itu tidak akan menjejaskan urusan pembayaran zakat di PPZ-MAIWP dan agihan zakat akan tetap dijalankan seperti biasa oleh MAIWP.
Oleh itu jelasnya, sebagai alternatif, pembayaran zakat boleh dilakukan secara dalam talian menerusi beberapa saluran yang telah ditetapkan.
“Pembayaran zakat boleh dibuat menerusi portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my. Melalui transaksi ini, pembayar boleh membuat kiraan menggunakan kalkulator zakat dan melakukan transaksi pembayaran melalui FPX atau kad kredit perbankan Islam serta semak penyata bayaran terdahulu.
“Aplikasi MyZakat juga boleh dimuat turun secara percuma melalui App Store dan Google Play. Pembayar boleh mengira, bayar dan semak rekod bayaran zakat mereka di mana sahaja dengan lebih cepat, mudah dan selamat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurut beliau, orang ramai juga boleh membuat pembayaran menerusi Kaunter Zakat Digital (KZD) dan Potongan Gaji Zakat Online di https://ptg.zakat.com.my/.
“Lebih mudah, mereka boleh membayar zakat menerusi 15 perbankan internet terpilih dan ejen-ejen yang dilantik antaranya Shopee, Boost, MyEG, Jompay, GoPayz dan PayHalal,” ujarnya.
Semasa pelaksanaan penutupan penuh ini, pihak MAIWP telah memperuntukkan lebih RM38 juta untuk dimanfaatkan kepada 75,210 penerima melalui Program MAIWP Prihatin-Kasih Asnaf 3.0. – UTUSAN ONLINE