IPOH: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini tidak beroperasi hari ini kerana tiada janji temu untuk suntikan dos kedua vaksin Covid-19.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, keadaan itu disebabkan pada 26 Mei lalu PPV itu tidak beroperasi berikutan cuti umum Hari Wesak dan ketika itu juga tiada sebarang janji temu suntikan dos pertama dibuat.
Menurut Saarani, individu yang menerima suntikan dos pertama akan menerima dos kedua selepas 21 hari dan kebetulan semasa Hari Wesak, PPV itu tidak beroperasi.
“Memang kita buat pemberian vaksin tujuh hari seminggu tetapi PPV ini ditutup pada Hari Wesak, jadi tidak ada orang yang terima dos pertama pada masa itu dan 21 hari selepas Wesak adalah hari ini.
“Masyarakat tidak perlu khuatir kerana PPV ini akan beroperasi seperti biasa esok,” katanya dalam sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Sementara itu Saarani berkata, kerajaan negeri menyasarkan 2,000 ujian saringan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen di dua daerah iaitu Kinta dan Daerah Larut, Matang dan Selama bulan ini.
Katanya, untuk permulaan disasarkan 2,000 saringan RTK Antigen di beberapa lokaliti di daerah berkenaan.
“Jumlah saringan akan ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan berdasarkan analisis data daripada Jabatan Kesihatan negeri,” katanya.
Menurut Saarani, kerajaan negeri sudah mengenal pasti syarikat pembekal perkhidmatan yang berkelayakan dan memenuhi piawaian bagi membekalkan RTK Antigen untuk kegunaan ujian saringan covid-19 di negeri ini.
“Langkah ini bertujuan membantu Jabatan kesihatan Perak menambah kapasiti saringan peringkat awal dan membolehkan tindakan awal lebih berkesan dapat dilakukan,” katanya.