KUALA PILAH: Satu kematian dengan catatan 124 jangkitan positif Covid-19 menerusi Kluster Jalan Seroja Kepis, yang bermula empat hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan penduduk di Felda Kepis, di sini ternanti-nanti waktu mereka dipanggil menerima vaksin.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Salasiah Mat Desa, 60, berkata, sejak tercetusnya kluster berkenaan, dia tidak keluar dari rumahnya dan hampir setiap hari berharap agar status penerimaan vaksinnya segera tertera di aplikasi MySejahtera.
“Saya antara yang perlu menjalani kuarantin serta dipakaikan gelang merah jambu disebabkan terdapat kematian akibat Covid-19 di blok perumahan. Mujur keputusan ujian calitan Covid-19 saya negatif.
“Empat hari lalu, selepas tamat kuarantin dan ketua blok mengambil nama saya untuk menerima vaksin. Alhamdulilah dan terima kasih kerana tak perlu lagi menunggu, saya sudah terima suntikan vaksin pertama walaupun takut dengan jarum,” katanya.
Dia ditemui pemberita sempena Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Pertama di Negeri Sembilan di Dewan Semai Budi, Felda Kepis, di sini, hari ini.
Bagi Mohd. Arshad Abd. Razak, 76, pula, dia pula tidak menyangka isterinya, Miskiah Abdul Rahman, 66, serta dua orang anaknya, Ahmad Salehuddin Mohd. Arshad, 45, dan Azhar Abd Razak, 36, turut menerima suntikan vaksin Covid-19 mereka pada hari yang sama.
“Saya ada masalah ‘slip disc’, sukar bergerak jauh dan memerlukan bantuan kerusi roda sekiranya mahu keluar dari rumah. Kalau perlu divaksin di lokasi yang jauh tentu sukar namun dipermudahkan hanya perlu vaksin di dewan Felda ini sahaja.
“Syukur sangat sebab ada antaranya yang perlu pergi ke Bahau dan juga Kuala Pilah yang tentunya terletak lebih 20 kilometer bagi perjalanan satu hala dari penempatan kami ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengurus Felda Kepis, Mohamad Daud Ahmad, berkata, Kluster Jalan Seroja Kepis bermula selepas seorang imam mulai bergejala pada hari mantai dan disahkan positif Covid-19 beberapa hari selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sehingga kini, hampir 400 penduduk disaring. Sebaik sahaja mengetahui PVV Bergerak dilaksanakan di sini empat hari lalu, kami mula menyenaraikan nama penduduk di 15 blok yang berusia 18 tahun ke atas serta tidak dikuarantin.
“Alhamdulilah, semuanya memberikan maklum balas yang baik serta mahu divaksin. Selain disebabkan tercetusnya kluster di kawasan ini, anak-anak juga memainkan peranan penting apabila menasihati ibu bapa mereka untuk menerima vaksin sebagai usaha perlindungan diri daripada Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE