PPV Bas Bergerak Mara Liner pertama di Sungai Siput - Utusan Malaysia

PPV Bas Bergerak Mara Liner pertama di Sungai Siput

ABDUL Rahman Mohamad (dua dari kiri) ketika melawat PPV Bas Bergerak di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong, Sungai Siput hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak Mara Liner oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berupaya memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada 800 penerima sehari.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, inisiatif itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada masyarakat luar bandar khususnya Orang Asli malah dapat memastikan tiada dalam kalangan mereka yang ketinggalan untuk menerima suntikan tersebut.

Katanya, selain memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin Covid-19, KPLB juga berusaha membantu komuniti itu yang menghadapi kesukaran untuk hadir ke PPV dengan membawa perkhidmatan tersebut ke kawasan berhampiran mereka.

“Kita tahu, di kebanyakan kawasan Orang Asli tiada tempat yang selesa untuk PPV sedangkan vaksin ini perlu dikawal termasuk dari segi penyimpanan dan suhu yang diperlukan.

“Jadi, kita sediakan perkhidmatan bas bergerak ini untuk memberi suntikan vaksin kepada masyarakat luar bandar khususnya komuniti berkenaan.

“Kita berharap, melalui usaha yang telah dilaksanakan ini, kesemua 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksinasi dapat menerima suntikan dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPV Bas Bergerak Mara Liner di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) di Kampung Bawong di sini hari ini.

Dalam program tersebut, seramai 100 masyarakat Orang Asli termasuk 40 Tok Batin di daerah Kuala Kangsar dan 60 warga emas komuniti itu menerima suntikan dos pertama di PPV Bas Bergerak Mara Liner.

Sungai Siput menjadi lokasi pertama PPV Bas Bergerak Mara Liner di mana dua daripada 17 buah bas ekspres yang diubah suai di tempatkan di lokasi tersebut.Menurut Abdul Rahman, penerimaan komuniti Orang Asli terhadap suntikan vaksin semakin baik apabila pendaftaran untuk menerima suntikan berkenaan semakin meningkat.

Malah katanya, ada dalam kalangan mereka hadir di PPV untuk mendapatkan suntikan meskipun nama tidak tersenarai sebagai penerima pada hari berkenaan.

“Hakikatnya, mereka mahu divaksin dan mahu menjalani kehidupan seperti dulu di mana boleh keluar berjalan ke bandar tanpa pakai pelitup muka dan minum teh di kedai.

“Malah, mereka sendiri yang bertanya pada kita bila mereka boleh menerima suntikan berkenaan. Ini reaksi apabila kita pergi ke kampung mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pada ketika ini kementerian berdepan sedikit kekangan untuk melaksanakan vaksinasi di kawasan-kawasan pedalaman kerana perlu menunggu vaksin berdos tunggal jenis CanSino yang dijangka diterima pada Julai depan.

“Buat masa ini, kita perlu tunggu ConSino dan berharap vaksin ini akan tiba awal, jadi gerak kerja kita akan lebih pantas dalam memastikan masyarakat luar bandar dapat divaksin segera,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya