JOHOR BAHRU: Poster yang memetik titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk memberi peluang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diputar belit dan digunakan tidak mengikut konteks yang tepat.
Kenyataan itu diambil daripada satu temubual eksklusif Sultan Ibrahim bersama sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan yang disiarkan pada 27 Disember 2015.
Baginda bertitah, kenyataan itu dibuat berkaitan situasi pentadbiran negara pada waktu berkenaan dan tidak diguna pakai dalam keadaan negara pada ketika ini.
“Saya sedar kedudukan saya sebagai seorang Sultan bermaksud saya tidak berpihak kepada mana-mana parti mahupun ahli politik.
“Sebagai Raja Berperlembagaan saya tidak mencampuri mana-mana parti atau perikatan politik yang telah dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum,” titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini tular dalam media sosial poster yang memetik titah Sultan Johor seolah-olah memberi gambaran bahawa Baginda meminta rakyat memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pekan itu.
Penularan poster itu pada ketika ini dilihat berniat jahat dan jelas berhasrat untuk mengheret Institusi DiRaja Johor ke dalam isu-isu politik semasa negara.
Sultan Ibrahim bertitah, baginda telah memberi kerjasama kepada kerajaan negeri berhubung pelantikan tiga Menteri Besar dalam tempoh dua tahun iaitu pada 2018 hingga 2020.
“Saya telah menerima keputusan kerajaan berkenaan dan memberikan kerjasama kepada mereka semua.
“Kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan saya dan Institusi DiRaja Johor, tidak kira siapa pun yang memegang tampuk pentadbiran kerajaan,” titah Sultan Ibrahim. – UTUSAN
POSTER memetik titah Sultan Ibrahim pada 2015 yang digunakan luar konteks dan kini menjadi tular.