BUDAPEST: Portugal sudah melupakan kekalahan besar kepada Jerman dan bersedia bangkit menewaskan pendahulu Kumpulan F, Perancis awal pagi Khamis ini untuk mara ke pusingan 16 terbaik Euro 2020.
Keyakinan itu dilaungkan pertahanan Portugal, Pepe yang menggesa benteng pertahanan supaya lebih kukuh dan belajar daripada kesilapan ketika mereka tunduk 4-2 kepada Jerman di Munich.
Portugal kini di kedudukan ketiga kumpulan ‘maut’ yang turut disertai Hungary dan mereka perlu mengelak tewas kepada Perancis di Budapest untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
“Kami tewas dan menang bersama. Berdepan Perancis kami perlu lebih ketat dan kental. Kami juga perlu menyamai semangat Jerman yang menewaskan kami untuk terus berada dalam kejohanan.
“Kami ada keinginan besar untuk menunjukkan siapa sebenarnya kami,” kata Pepe yang berusia 38 tahun dan menjadi pemain paling tua dalam Euro 2020.
Portugal memulakan kempen mempertahankan gelaran dengan kemenangan 3-0 membenam Hungary di Budapest.
Namun, mereka tewas di tangan Jerman Ahad lalu sekali gus meningkatkan tekanan buat penyandang juara Eropah itu apabila berdepan Perancis.
Perlawanan itu juga bakal menjadi aksi ulangan final 2016 yang dimenangi Portugal 1-0 selepas tambahan masa.
“Kami hanya bergantung kepada diri sendiri untuk layak, itu perkara paling penting.
“Kami tahu ia akan menjadi sangat sukar dan kami akan cuba untuk berada pada tahap terbaik untuk mencapai sasaran kami,”ujarnya. – AFP