Polis siasat ‘posting’ NGO minta derma bayar ikat jamin - Utusan Malaysia

Polis siasat ‘posting’ NGO minta derma bayar ikat jamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis meminta orang ramai tidak terpedaya dengan kenyataan yang dimuat naik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang meminta kutipan derma bagi membiayai wang jaminan lima penghantar makanan yang ditahan insiden pergaduhan membabitkan sensitiviti agama di Sungai Way, dekat sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis tidak pernah mengenakan atau meminta sebarang bayaran bagi ikat jamin terhadap orang kena tangkap (OKT).

Katanya, kenyataan memohon derma berkenaan dimuat naik di Facebook yang mendakwa lima penghantar makanan ditahan serta mereka perlu membayar wang ikat jamin sebanyak RM3,000 sehingga RM4,000 seorang.

“Menurut kenyataan itu, sumbangan boleh disalurkan ke satu laman web atau akaun bank yang dipercayai milik NGO berkenaan. 

“Disyaki terdapat individu atau persatuan yang mengambil kesempatan terhadap insiden berkenaan dengan membuat kutipan derma untuk kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohamad Fakhrudin berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ujarnya, siasatan turut dijalankan terhadap penyataan yang dimuat naik di Facebook NGO berkenaan.

Jumaat lalu, enam individu termasuk seorang pelanggan dan lima penghantar makanan ditahan berhubung pergaduhan di Sungai Way di sini.

Ini susulan satu laporan daripada seorang penghantar makanan berhubung tindakan seorang pelanggan yang didakwa menggunakan nama yang menyentuh sensitiviti agama pukul 2.30 petang.

Penghantar makanan itu kemudian membuat tangkap layar pesanan daripada pelanggan berkenaan serta menularkannya kepada aplikasi komunikasi kumpulan penghantar makanan di kawasan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya