IPOH: Polis menafikan sebuah kilang menghasilkan komponen semikonduktor di Meru dekat sini, beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemeriksaan hari ini juga mendapati premis berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor pengilangan dan pembuatan.
Katanya, operasi bersepadu di premis berkenaan dijalankan bersama MITI Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.
“Polis maklum mengenai rakaman video dan kenyataan yang dimuat naik di media sosial mengenai operasi kilang itu yang kononnya melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Bagi mengesahkan kesahihan maklumat itu, kita menjalankan operasi di kilang berkenaan dan mendapati premis berkenaan beroperasi dengan kelulusan MITI dan patuh SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan terhadap kilang-kilang yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan komen tidak benar mahupun tohmahan tidak berasas melalui media sosial yang akan mencetuskan kegusaran masyarakat,” katanya.
Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial mengenai pertikaian beberapa pihak yang mendakwa kilang berkenaan masih kebal beroperasi meskipun merekodkan kes positif Covid-19.
Kilang tersebut juga dikatakan tidak sepatutnya beroperasi kerana berada dalam kumpulan Perkhidmatan Bukan Keperluan Utama. – UTUSAN ONLINE