PETALING JAYA: Tindakan seorang pemilik kenderaan mewah yang menggunakan lampu strob ketika melalui kesesakan trafik mengundang padah apabila dia kini diburu polis.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, arahan dikeluarkan jabatan itu ke peringkat kontinjen dan daerah bagi mengesan pemilik kenderaan tersebut.
Kata beliau, sehingga kini mereka masih mengenal pasti individu terbabit memandangkan penggunaan lampu strob adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita masih kesan pemilik tersebut bagi diambil tindakan susulan dan siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz menggunakan lampu strob di dalam media sosial semalam.
Rakaman video berdurasi 20 saat yang dimuat naik pemilik kenderaan itu di aplikasi TikTok didapati menggunakan lampu strob bagi mengelak kesesakan trafik dan menggunakan lorong kecemasan.
Tindakan pemilik kenderaan itu memuat naik video berkenaan turut menerima kecaman netizen. – UTUSAN ONLINE