KANGAR: Polis mengeluarkan 97 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang lima hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya di bandar Kangar.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, tidak daftar masuk atau mengimbas MySejahtera ketika memasuki premis adalah kesalahan tertinggi dengan 45 kompaun diikuti tidak memakai pelitup muka sebanyak 31 kompaun.
Katanya, perkembangan tersebut amat mengecewakan dengan menunjukkan masyarakat masih lagi tidak menyedari kepentingan mematuhi SOP dalam mengekang penularan wabak Covid-19.
“Jumlah 31 kompaun tidak memakai pelitup muka dalam masa lima hari adalah agak tinggi. Orang awam seolah-olah tidak nampak kepentingan memakai pelitup muka yang merupakan antara cara mencegah jangkitan Covid-19.
“Selain itu, kami juga mengeluarkan tujuh kompaun kepada mereka dari Kedah yang cuba merentas negeri menggunakan jalan alternatif. Kebanyakan mereka ditahan di Pida 11 yang merupakan jalan kampung yang banyak digunakan oleh petani.
“Malah ada dua yang ditahan rentas negeri dengan membawa masuk dadah jenis heroin iaitu satu ditangkap di Pida 11 dengan 4.1 gram heroin, manakala satu lagi di sekatan jalan raya (SJR) di kilometer 17, Simpang Empat dengan 28.77 gram heroin,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di SJR yang dibuat secara ’snap check’ di Jalan Tambun Tulang, Pida 9 dan Pida 11, Jalan Sanglang di sini hari ini.
Tambahnya, tiada penghadang jalan diletakkan di laluan tersebut bagi memudahkan penduduk terutamanya petani yang mempunyai sawah di sempadan kedua-dua buah negeri ini keluar masuk.
“Lagipun, ’snap check’ sentiasa dilakukan di sini sehingga paling lewat pukul 1 pagi. Kami mengesan banyak aktiviti rentas negeri oleh individu luar berlaku antara pukul 8.30 hingga 11 pagi dan juga pada waktu petang.
“Seramai enam orang telah ditahan di kawasan Pida 11 ini termasuk seorang yang membawa heroin,” katanya.