Polis kejar lelaki larikan lori satu tan  - Utusan Malaysia

Polis kejar lelaki larikan lori satu tan 

LELAKI yang melarikan sebuah lori satu tan yang diletakkan di parkir sebuah pasar raya di Bayan Baru, Pulau Pinang ditahan selepas dikejar kereta peronda polis sejauh tiga kilometer.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki yang bertindak melarikan sebuah lori satu tan selepas mengejarnya sejauh lebih tiga kilometer (km) hingga ke sebuah stesen minyak di Sungai Tiram, Bayan Lepas, di sini hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek berusia 31 tahun berkenaan diberkas selepas kenderaan tersebut terbabas di tepi jalan ketika menghala ke arah Bayan Baru dekat sini. 

Terdahulu, kejadian tersebut tular dalam media sosial selepas beberapa video tangkapan lelaki itu dikongsi warganet petang ini. 

Menerusi rakaman video tersebut, beberapa pengguna media sosial mendakwa suspek dipercayai mengalami masalah mental. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, berlaku pergelutan antara anggota polis peronda dan suspek ketika lelaki itu ditahan. 

“Pemilik lori berkenaan ternampak kenderaan  miliknya itu dilarikan suspek semasa diletakkan di parkir sebuah pasar raya di Bayan Baru. Namun dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas. 

“Setakat ini polis tidak dapat mengesahkan sama ada suspek mengalami masalah mental disebabkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersamanya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Beliau memberitahu, suspek kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang kerana mengalami kecederaan dan siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya