PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing Myanmar ditemukan maut disyaki telah dibunuh pada 14 Mei lalu.
Lelaki dikenali sebagai Kyaw Swan berusia 20-an itu telah dimasukkan ke Zon Kritikal selepas cedera parah di bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa yang cedera akibat terkena objek tajam dirawat dan dikatakan tidak sedarkan diri sejak dimasukkan ke wad.
Kata beliau, bagaimanapun sekitar pukul 6.53 pagi tadi mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Kajang.
“Berikutan maklumat itu polis kini mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Justeru itu, pihak kita sedang mengesan rakan atau majikan mangsa atau individu yang menghantar mangsa ke Hospital Kajang pada 14 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Zaid, mana-mana individu atau saksi yang ada maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk tampil bagi membantu siasatan serta boleh menghubungi IPD Kajang di talian 03-8911 4222 atau mana-mana Balai Polis atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes ASP Redzuan Mat Salleh di talian 013-7854100. – UTUSAN