DUNGUN: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun sebuah kedai kotak di Kampung Cacar di Paka, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, lelaki berkenaan didakwa melarikan lima tabung derma dari kedai tersebut melibatkan kerugian kira-kira RM500 dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang menunggang motosikal berpura-pura mahu membeli rokok dan air.
“Semasa di kaunter, suspek menyelak bajunya dan menunjukkan sebilah pisau di pinggang kepada juruwang wanita berkenaan agar berdiam diri.
“Pekerja berusia 19 tahun itu hanya mampu melihat suspek mengambil lima tabung derma di kedai itu kerana bimbang keselamatan dirinya dan kejadian berlaku kira-kira seminit,” katanya kepada pemberita.
Baharudin berkata, ketika kejadian jarak antara pekerja itu dan suspek lebih kurang satu meter dengan dihalang jeriji besi.
Katanya, polis berjaya menemukan beberapa kesan cap jari suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE