LIPIS: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis nyaris cedera terlanggar sebatang pokok tumbang di jalan utama Lipis-Jerantut, dekat sini, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Pegawai APM Daerah, Mohd. Azhar Yusof berkata, kejadian berlaku berdekatan Kampung Kerambit ketika hujan lebat beserta angin kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Berdasarkan maklumat daripada anggota yang juga pengadu dikenali sebagai Hafizudin Mohamad, kejadian itu boleh mengakibatkan gangguan lalu lintas kerana pokok tersebut menutup separuh daripada laluan.
“Sejurus selepas mendapat maklumat lengkap, empat anggota APM menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Navara ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.
“APM mengambil masa 15 minit untuk mengalih dan membersihkan kawasan pokok tumbang itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE