PNBBC mahu agihan bantuan bakul makanan ditambah baik - Utusan Malaysia

PNBBC mahu agihan bantuan bakul makanan ditambah baik

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Majlis Backbenchers Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim mahu pengagihan bagi bantuan bakul makanan ditambah baik.

Beliau berkata, ini bagi memastikan peruntukan sebanyak RM300,000 yang diberikan kepada semua ahli Parlimen yang terdiri daripada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dapat diagihkan dengan sebaik mungkin terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19.

Justeru, katanya, PNBBC mencadangkan supaya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dilibatkan secara bersama dalam bantuan bakul makanan.

“Ini bagi menggerakkan usaha menyampaikan bantuan ini dengan lebih efisien memandangkan mereka merupakan unit pelaksana dasar kerajaan di peringkat akar umbi yang paling hampir dengan rakyat.

“Moga bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik Covid-19. Tingkatkan vaksinasi dan teruskan usaha membela nasib rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama Shahidan turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas keprihatinannya.

“Usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini merupakan suatu tindakan yang mulia demi memastikan kebajikan rakyat yang terkesan disebabkan oleh pandemik Covid-19 dan perlaksanaan PKP terus dibela dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik.

“Harus diketahui, usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini merupakan suatu usaha berterusan yang telah dilakukan sebelum ini menerusi bantuan yang telah diberikan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk disalurkan kepada rakyat melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, misalnya seperti yang telah dilaksanakan di negeri Perlis. Pada ketika ini, ianya akan dilaksanakan pula menerusi ahli-ahli Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya