KOTA BHARU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini hanya akan menerima pesakit yang disahkan positif tahap satu, dua dan tiga menerusi ujian pengesanan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sahaja mulai esok.
Ketika kes Covid-19 melonjak tinggi di seluruh negeri ini sepanjang bulan lalu, PKRC menerima kedua-dua pesakit sama ada yang disaring dengan ujian RT-PCR atau pun ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag).
Pengarah PKRC Kelantan, Dr. Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, perkara itu diputuskan selepas mengambil kira ketepatan ujian RT-PCR yang lebih tinggi berbanding ujian RTK-Ag, di samping penurunan kes jangkitan di negeri ini sejak dua minggu lalu.
Pendekatan terkini tersebut kata beliau, bertujuan mengoptimum sumber yang ada serta tenaga kerja para petugas di kesemua 14 PKRC yang masih beroperasi di seluruh negeri.
“Lokaliti kluster yang kadar jangkitannya lebih tinggi akan terus menggunakan ujian RTK-Ag atau ditentukan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) negeri serta CPRC Kementerian Kesihatan.
“Bagi kluster yang disahkan positif menerusi ujian RTK-Ag, pesakit ditempatkan di asrama Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh dan asrama Hospital Pasir Mas. Mereka perlu menjalani ujian RT-PCR terlebih dahulu sebelum ditempatkan ke PKRC lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau operasi PKRC Tanjung Chat yang turut disertai Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Selasawati Ghazali di sini hari ini.
Terdahulu, Dr. Zurairie menerima 10 unit Oxygen Concentrators sumbangan Malaysian Thoracic Society dan Lung Foundation of Malaysia bagi kegunaan pesakit yang ditempatkan di di PKRC Tanjung Chat.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Zurairie memberitahu, dua PKRC iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, Tumpat dan SMK Salor bakal diletakkan dalam mod tunggu sedia sebaik sahaja sembilan pesakit terakhir dibenarkan pulang.
“Sementara itu, PKRC Tanjung Chat diletakkan dalam standby mode mulai hari ini manakala dua lagi PKRC iaitu Kolej Kemahiran Tinggi Pasir Mas dan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) juga akan menghentikan pengambilan pesakit dalam masa terdekat,” katanya.- UTUSAN ONLINE