KUALA NERUS: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) di sini bakal dijadikan wad tambahan bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, perkara itu dalam pertimbangan pihaknya susulan penggunaan katil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang hampir penuh.
“Petang ini kita akan dimaklumkan situasi sebenar katil di Terengganu dan kalau kritikal kita terpaksa menjadikan PKRC berkenaan sebagai wad Covid-19.
“Kerajaan negeri juga sedang berusaha menambah lebih banyak PKRC susulan peningkatan kes positif harian,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Setakat ini terdapat enam PKRC di Terengganu iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, ILKKM, Kem Wawasan Besut, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).