PKPD Cameron Highlands: Harga tomato, timun Jepun meningkat - Utusan Malaysia

PKPD Cameron Highlands: Harga tomato, timun Jepun meningkat

DUA pekerja memungut hasil tanaman di sebuah kebun sayur organik di Cameron Highlands, Pahang. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua jenis sayur iaitu tomato dan timun Jepun dikesan mengalami kenaikan harga antara 15 hingga 30 peratus menerusi pemeriksaan yang dijalankan di beberapa pasar awam dan pasar raya, di sini hari ini.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, hanya dua jenis sayur itu mengalami kenaikan harga ketara manakala sayur-sayuran lain kekal stabil.

Beliau berkata, kenaikan harga itu berlaku disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands ketika ini.

“Pemantauan hari ini adalah melihat harga bagi jenis-jenis sayur dihasilkan pekebun-pekebun di Cameron Highlands seperti tomato, timun jepun, cili, kobis, kacang buncis, capsicum dan salad.

“Pemantauan di sebuah pasar di sini juga mendapati harga semua jenis sayuran masih lagi stabil seperti harga sebelum ini tanpa sebarang kenaikan yang ketara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, maklumat harga yang direkodkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pula mendapati, kenaikan harga bagi beberapa jenis sayuran dikesan di peringkat nasional dengan harga tomato meningkat 8.33 peratus, sawi (2.91 peratus), timun (2.08 peratus), kubis bulat tempatan (2.73 peratus), kailan (2.37 peratus), kangkung (2.29 peratus), brokoli (2.27 peratus) dan capsicum (2.07 peratus).

“Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP juga tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan bekalan sayur-sayuran tertentu ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands,” katanya.

Azman berkata, pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP di seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan bagi mengesan mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

“Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

“Bagi perbadanan, syarikat dan bagi bukan perbadanan dan individu pula boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, pengguna boleh menyalurkan maklumat aduan berkaitan salah laku jika ada peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya