PKPD: 15 jalan ditutup di Mukim Bukit Besar, Serada - Utusan Malaysia

PKPD: 15 jalan ditutup di Mukim Bukit Besar, Serada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15 laluan di dua mukim di daerah ini ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuat kuasa hari ini. 

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, daripada jumlah itu, empat laluan membabitkan Mukim Bukit Besar manakala 11 lagi Mukim Serada. 

Katanya, lokasi di Mukim Bukit Besar ialah di Jalan Budiman/Lorong Kenanga, Jalan Haji Abdul Rahman Limbong/Lorong Kenanga, bawah jejambat Tok Molor dan jambatan Kampung Laut. 

“Bagi mukim Serada pula, jalan tepi sungai belakang Masjid Al-Mustaqqim, Jalan Binjai Berambu, Lorong Kubang Bujuk, Kampung Tiruk di samping lima jambatan di Tok Hakim, Kampung Cerana, jambatan Banggol Kapas, Surau Seri Pahlawan, Banggol Pak Ali dan Padang Pak Kabar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, polis melaksanakan lima sekatan jalan raya (SJR) iaitu di jalan keluar masuk Panji Alam di Simpang Pengadang Akar, jalan keluar masuk Pasir Panjang di Gong Kapas dan di Jalan Serada.

Katanya, balai polis bergerak turut ditempatkan di kawasan PKPD berkenaan iaitu di hadapan Masjid Sultan Muhammad dan dewan sivik Serada bagi memudahkan penduduk mendapatkan sebarang maklumat atau bantuan hal-hal kecemasan.

Di samping itu, katanya, polis giat membuat rondaan serta pemantauan dari semasa ke semasa dan orang ramai di kedua-dua mukim tersebut dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Cubaan atau tindakan mengalih, mengubah, melanggar atau merosakkan penghadang jalan di kawasan PKPD boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang manakala 19 mukim lain di daerah ini diminta mematuhi SOP PKP penuh dan mengurangkan pergerakan kecuali atas sebab serta urusan tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya