PUTRAJAYA: Kerajaan mengekalkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 di seluruh negara sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan setelah mengambil kira situasi semasa ketika ini yang masih belum berjaya untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 apabila graf jumlah kes positif baharu harian menunjukkan trend mendatar.
Belau berkata, Fasa 1 PKP menyeluruh dikekalkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehingga tiga indikator nilai ambang utama dicapai.
Beliau menjelaskan, ketiga-tiga indikator nilai ambang tersebut ialah purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes, kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada paras sederhana serta kadar vaksinasi bagi populasi yang telah menerima dua dos lengkap mencapai 10 peratus.
“Justeru, peralihan daripada Fasa 1 ke Fasa 2 akan mengambil kira ketiga-tiga indikator itu sebelum ia diputuskan.
“Secara keseluruhan, PPN adalah strategi peralihan keluar dari kemelut pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat,” katanya.