Pihak berkuasa 'jemput' penduduk jalani saringan Covid-19 - Utusan Malaysia

Pihak berkuasa ‘jemput’ penduduk jalani saringan Covid-19

PEGAWAI Kesihatan di samping polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) menggempur rumah penduduk yang enggan melakukan ujian saringan bersasar Covid-19 di Kampung Seberang Baruh di Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kedegilan segelintir penduduk Kampung Seberang Baruh di sini, menjalani ujian saringan bersasar Covid-19 di balai raya berdekatan mendorong pihak berkuasa menggempur rumah mereka hari ini. 

Kunjungan pihak berkuasa yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan negeri bersama  polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) itu bertujuan memaksa mereka patuh kepada arahan yang dikeluarkan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampungnya (JPKK), Mohd. Junaidi Long  berkata, seramai 950 penghuni di kawasan itu diarahkan tampil melakukan ujian berkenaan susulan 11 kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan penduduk. 

Bagaimanapun, katanya, hanya kira-kira 400 orang hadir melaksanakan tanggungjawab itu pada hari pertama ujian saringan semalam manakala baki 600 lagi diminta berbuat demikian hari ini. 

“Pagi ini sambutan  terhadap arahan Jabatan Kesihatan negeri itu masih lagi kurang, jadi kita terpaksa membuat gerak gempur dari rumah ke rumah. 

“Saya sebagai wakil JPKK merayu kepada penduduk agar mengambil peluang membuat saringan secara sukarela demi menjaga kesihatan dan keselamatan kita daripada Covid-19,” katanya kepada pemberita. 

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, pelaksanaan ujian saringan bersasar Covid-19 di kampung berkenaan bertujuan mengelak jangkitan lebih besar dalam komuniti. 

Katanya, pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat membolehkan  tindakan kawalan seperti rawatan dan kurantin disegerakan. 

“Penduduk dinasihatkan memberi kerjasama untuk tampil membuat saringan agar rantaian virus dapat diputuskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya