PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan dua penyelesaian kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar sidang Parlimen dilakukan dengan secepat mungkin.
Jelas Ahli Parlimen Pekan itu, yang pertama adalah memberikan notis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk meminta Parlimen bersidang dan keduanya bersidang.
Beliau menjelaskan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa satu jawatankuasa dibentuk untuk meneliti aspek sidang Parlimen seolah-olah ia pertama kali Dewan Rakyat akan bersidang.
“Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja titah untuk Parlimen bersidang secepat mungkin. Seri Paduka dan raja-raja tak titah untuk kamu bentuk jawatankuasa kaji bagaimana Parlimen boleh bersidang.
“Tak perlu kaji lagi. Saya beri penyelesaian, langkah pertama hantar notis kepada Speaker untuk suruh Parlimen bersidang, kedua pula bersidang,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu Muhyiddin memaklumkan sebuah jawatankuasa yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang telah dibentuk untuk meneliti aspek-aspek penting sebelum sidang Parlimen diadakan.
Kata Perdana Menteri, beliau memberikan komitmen bahawa keputusan pembukaan sidang Parlimen akan diputuskan oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang di dalam jawatankuasa berkenaan.