Persewip tetap bersama PSM - Utusan Malaysia

Persewip tetap bersama PSM

MOHD. SUMALI REDUAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) menyatakan pendiriannya untuk tetap bersama-sama dengan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sedia ada.

Presidennya, Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, pihaknya mengambil maklum dengan keputusan 10 ahli-ahli gabungan PSM yang bertindak keluar daripada persatuan itu.

Bagaimanapun katanya, tujuan dan rasional mereka untuk keluar tidak dapat dipastikan di saat semua memerlukan kebersamaan dalam PSM demi sepaktakraw negara.

“Jalan terbaik adalah duduk bersama di meja perundingan dalam PSM itu sendiri.

“Saya selaku Naib Presiden III PSM yang juga Presiden Persewip ingin menyatakan di sini bahawa Persewip tetap dengan pendirian untuk bersama-sama dengan PSM sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Datuk Seri Ahmad Ismail meletak jawatan sebagai presiden selepas memimpin PSM, di tengah-tengah kontroversi yang melanda dirinya dengan badan sepak takraw Asia, Astaf.

Ahmad, 66, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengumumkan pengundurannya dalam program yang disiarkan Astro Arena, PM bersama AM.

Mohd. Sumali berkata, PSM sudah memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatan beliau semasa Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis PSM sebelum ini.

“Namun, saya menghormati keputusan beliau yang begitu ‘gentleman’ dalam memikirkan hala tuju PSM selepas ini. Mungkin kita tidak dapat memikirkan apa yang ada dibenak fikirannya.

“Saya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa yang diberikan selama beliau menjadi Presiden PSM sejak 2002 lagi,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga ingin mengingatkan dan menyeru kepada semua ahli-ahli gabungan yang telah keluar daripada PSM supaya memikirkan semula untuk bersama-sama dalam PSM demi sayangkan sukan sepaktakraw negara.

“Sama-sama kita berganding bahu untuk bersama-sama memartabatkan sukan warisan budaya bangsa ini dan tidak dikawal oleh orang-orang luar yang ada kepentingannya. Tidak perlulah kita melayan dengan janji-janji yang diberikan demi kepentingan beliau.

“PSM sentiasa bersikap terbuka dalam apa jua keadaan demi membaikpulih imej PSM itu sendiri. Jangan ada tangan-tangan ghaib atau agenda-agenda tertentu diluar sana yang lebih memecahbelahkan sesama kita dalam PSM.

“Saya sendiri akan memberikan kerjasama kepada Pengurusan PSM yang baharu untuk tujuan ini. Insya-Allah. Paling penting bukan saya, bukan individu, yang penting adalah PSM dan sepaktakraw negara harus di martabatkan dipersada antarabangsa,” katanya.

Tambah beliau, semua pihak juga dinasihatkan memilih Ahli Majlis PSM yang akan diadakan pada tahun ini.

“Insya-Allah saya akan terus bersama PSM dan menyokong sesiapa sahaja yang menerajui PSM dan kepimpinan PSM yang baru nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya