IPOH: Gara-gara mesej palsu kononnya seorang peniaga Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini positif Covid-19, pendapatan peniaga di pasar tersebut kini terjejas.
Peniaga, Noorlaili Mohd Zain, 62, berkata, kejadian berlaku pada Ahad lalu apabila tular dalam media sosial gambar suaminya, Meor Zulkifli Badioz Zaman, 60, kononnya telah dijangkiti virus itu selain dituduh enggan membuat ujian calitan.
Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan individu yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan pengunjung takut untuk datang membeli di pasar tersebut.
“Akibat berita palsu itu, suami saya diminta untuk melakukan ‘swab test’ oleh pihak berkuasa sebaik sahaja menerima aduan daripada individu yang tidak dikenali.
“Tanpa usul periksa kesahihan berita tular itu, suami saya diarahkan untuk membuat ujian calitan dan kehadiran penguatkuasaan Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) dan polis di pasar menimbulkan spekulasi seolah-olah suami benar-benar positif.
“Suami saya telah membuat ujian itu dan ia disahkan negatif, ternyata tuduhan ini tidak benar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Menurutnya, disebabkan mesej palsu itu, pendapatannya yang mencecah hampir RM2,000 sebelum ini jatuh hingga memperoleh RM500.
Katanya, malah peniaga lain turut terjejas kerana pengunjung takut untuk datang ke pasar itu.
“Kami ingin membersihkan nama kami yang difitnah oleh seorang individu tidak dikenali yang membuat aduan palsu kepada pihak MBI,” katanya.
Noorlaili meminta MBI menampal notis makluman bahawa premis berkenaan bebas jangkitan untuk menyakinkan pelanggan.
“MBI tahu suami saya negatif Covid-19, tapi kenapa tiada sebarang tindakan yang diambil, sekurang-kurangnya tampal notis rasmi pemberitahuan pasar ini selamat dan pelanggan tidak berasa was-was datang untuk membeli,” katanya.
Katanya, satu laporan telah dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan mengesan individu yang menyebarkan berita palsu terhadap suaminya.
Sementara itu, MBI dalam notis pemberitahuan ringkas hari ini memaklumkan kepada umum Pasar Tanjung Rambutan bebas dari gejala Covid-19 seperti mana yang tular berita palsu sebelum ini.
Notis berkenaan turut memaklumkan pasar itu tetap akan beroperasi seperti biasa mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).