KUALA LUMPUR: Permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuannya agar Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) didaftarkan sebagai sebuah parti politik, akan didengar di Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos ini.
Turut mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar tindakan tersebut ialah 12 individu lain selaku pemohon.
Pemohon serta Menteri Dalam Negeri dan RoS (responden-responden) diarah memfailkan
penghujahan bertulis sebelum atau pada 5 Ogos ini manakala responden memfailkan afidavit balasan sebelum 15 Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam Lim Wei Jiet yang mewakili pemohon-pemohon selepas pengurusan kes yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli.
Peguam Persekutuan M. Kogilambigai mewakili Menteri Dalam Negeri dan RoS.
Pada 25 Mei lalu, Hakim Datuk Noorin Badaruddin membenarkan pemohon-pemohon memulakan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan responden-responden yang masih masih belum membuat keputusan berhubung rayuan mereka yang dikemukakan pada 4 Februari lalu untuk mendaftarkan parti berkenaan.
Pada 26 April lalu, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus agar responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan tersebut.
Mereka mengemukakan rayuan pada 4 Februari lalu terhadap keputusan RoS pada 6 Januari lalu yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik.
Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lalu oleh Syed Saddiq yang
merupakan bekas Ketua Armada Bersatu, namun ditolak RoS.
Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.