KUALA LUMPUR: Permohonan Ketua Polis Negara (KPN) untuk membatalkan saman seorang guru tadika yang mendakwa polis gagal menangkap bekas suaminya dan memulangkan anak perempuan yang dilarikan lelaki itu, diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Julai ini.
Saman itu dikemukakan oleh M. Indira Gandhi terhadap KPN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua pihak lagi atas dakwaan polis gagal melaksanakan waran komital terhadap bekas suami mualaf, Muhammad Riduan Abdullah dan memulangkan Prasana Diksa.
Remaja perempuan itu yang kini berusia 13 tahun dilarikan oleh bapanya ketika berusia setahun.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak menerusi prosiding dalam talian.
Indira turut memfailkan permohonan interogatori bagi mendapatkan perintah agar KPN menjawab kesemua 48 soalan secara bertulis melalui afidavit mengikut Aturan 26 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Soalan itu berkaitan siasatan dijalankan termasuk lokasi bekas suaminya, yang sebelum ini dikenali sebagai K. Patmanathan yang didakwa berada di Selatan Thailand.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili pihak kerajaan berhujah agar permohonan Indira dibatalkan atas alasan tindakan saman itu bersifat remeh-temeh dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Andi Razalijaya berhujah, writ saman di Kuala Lumpur itu difailkan walhal pada masa yang sama Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak masih memantau progres pelaksanaan waran komital terhadap bekas suaminya.
Hujah beliau, remedi yang dimohon pada peringkat ini harus dibuat dalam permohonan semakan kehakiman di Ipoh, bukan di Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, beliau berhujah, Indira tersilap memfailkan tindakan saman terhadap KPN sedangkan pelaksanaan perintah mandamus masih dalam pemantauan Mahkamah Tinggi Ipoh.
Menurut Andi Razalijaya, berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016, perintah mandamus terhadap KPN hanya berkaitan pelaksanaan waran komital untuk menahan bekas suaminya, bukan termasuk pelaksanaan bagi perintah mendapatkan semula Prasana.
Hujah beliau, bukan tugas KPN untuk mencari Prasana dan oleh yang demikian, Indira tidak boleh menuntut bahawa penderitaan yang ditanggung kerana terpisah dengan anaknya adalah akibat tindakan defendan-defendan.
Sehubungan itu, beliau memohon agar writ saman Indira dibatalkan atas alasan tuntutan itu tidak menyatakan kausa tindakan yang munasabah berkaitan `tort of nonfeasance’ di pejabat awam.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan ketika berhujah mewakili Indira berkata, remedi yang dipohon pada peringkat ini adalah berlainan dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Hujah peguam, writ saman di sini difailkan bagi menuntut ganti rugi ekoran penderitaan yang ditanggungnya kerana kegagalan defendan-defendan menangkap bekas suami dan memulangkan anaknya yang telah dilarikan.
Plaintif turut menyatakan agar permohonan interogatori dibenarkan atas alasan jawapan yang akan diperolehi adalah khusus dan memfokus kepada isu yang akan dibangkitkan dalam tuntutan saman itu.
Hujah peguam, jawapan KPN kelak akan menjimatkan masa mahkamah dan membantu menyalurkan bukti keterangan lanjut bagi membantu perbicaraan.
Pada 28 Oktober tahun lalu, Indira, 46, selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan KPN, PDRM, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia, selaku defendan.
Dalam penyataan tuntutannya, Indira mendakwa defendan pertama iaitu KPN telah dengan sengaja dan cuai tidak menghiraukan perintah mandamus daripada Mahkamah Persekutuan kerana gagal membuat siasatan atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anaknya yang dilarikan oleh bekas suami. – UTUSAN ONLINE