PETALING JAYA: Malaysia harus meletakkan strategi bernas dalam mengekalkan rantaian nilai yang relevan bagi memastikan kadar pelaburan asing (FDI) negara berada pada tahap yang baik sekali gus mengekang trend penurunan berterusan dalam situasi pandemik Covid-19 ini.
Ini bagi memastikan penurunan FDI di Malaysia pada 2020 yang susut 54.8 peratus dengan aliran masuk bersih bernilai RM14.6 bilion yang terendah sejak 2009, dapat diperbaiki dalam suku seterusnya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sokongan berterusan amat diperlukan untuk meyakinkan para pelabur berikutan proses tersebut mengambil masa di samping saingan sengit daripada negara-negara Asean untuk objektif yang sama.
Ujarnya, negara perlu bersaing dengan negara yang berpenduduk ramai seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang turut menyediakan pasaran domestik yang besar, namun kecekapan rakyat bertutur dalam beberapa bahasa utama dunia masih menjadi penarik kepada FDI.
“Selain itu, kerajaan telah menumpukan untuk menarik pelaburan berkualiti bagi merancakkan aliran masuk pelaburan untuk sektor bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi untuk negara berubah daripada penggunaan model pembuatan kos rendah sejak 1980-an.
“Proses ini akan mengambil masa kerana pelabur-pelabur pasti akan menilai keupayaan negara kita dari pelbagai aspek, bukan sahaja insentif cukai tetapi juga kecekapan tenaga kerja, kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D), sokongan logistik dan strategi global syarikat asing (MNC) itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Minggu lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia dalam kenyataan mengenai statistik FDI di Malaysia dan Pelaburan Langsung Malaysia di Luar Negara (DIA) 2020 melaporkan aktiviti ekonomi di peringkat global terjejas dengan teruk sepanjang 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang seterusnya mempengaruhi prestasi pelaburan global.
Berdasarkan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), FDI secara global merosot 42 peratus pada 2020 berbanding 2019, justeru FDI ke Malaysia juga mengalami situasi yang sama.
Bagaimanapun, trend menurun tidak berterusan pada permulaan 2021 dengan aliran FDI di Malaysia menunjukkan pemulihan dengan mencatatkan RM9.1 bilion yang merupakan pelaburan tertinggi sejak Malaysia dilanda pandemik Covid-19.
Peningkatan dalam pelaburan ini disumbangkan oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Tambah Aimi Zulhazmi, data tersebut memberi tanda-tanda positif terhadap pemulihan FDI negara yang kebanyakannya datang daripada sektor pembuatan terutamanya kepada industri elektrik dan elektronik selepas peningkatan permintaan ke atas barangan elektrik ketika sekatan pergerakan seperti komputer riba dan telefon bimbit. – UTUSAN ONLINE