PUTRAJAYA: Institusi pengajian tinggi (IPT) disaran mengukuhkan kursus yang memberi nilai tambah terhadap program yang ditawarkan bagi melahirkan graduan holistik.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, program akademik yang ditawarkan tidak harus dipertikai kualitinya kerana semua dikawal selia dengan baik oleh MQA.
Katanya, kualiti program itu bukan sekadar diiktiraf negara, malah universiti luar negara dan badan akreditasi antarabangsa.
“Bagaimanapun, IPT tidak boleh hanya bergantung pada kualiti program ditawarkan untuk menjamin kesejahteraan graduan pada masa depan kerana kini majikan bukan hanya melihat kecemerlangan akademik semata-mata sebagai syarat pengambilan pekerjaan.
“Dengan program sedia ada yang dijamin kualitinya dan dilengkapi pula dengan kursus yang memberi nilai tambah, graduan dilahirkan lebih berdaya saing apabila menyertai alam kerjaya,” katanya hari ini.
Mohammad Shatar berkata, IPT digalakkan memperkukuh lagi kursus nilai tambah seumpama keterampilan graduan supaya lebih menyerlah.
Contoh katanya, melaksanakan ‘finishing school’ dengan kerjasama pihak industri.
“Pihak IPT juga boleh bekerjasama dengan badan bertauliah dalam menyediakan kursus yang diiktiraf, misalnya Google Developers Experts yang sijilnya dikeluarkan gergasi enjin pencarian itu sendiri atau kursus menjadi mutawwif yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Kursus jenis ini tidak perlu mendapat pengiktirafan MQA, cukuplah badan yang bertauliah memperakuinya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif ini bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan tinggi negara sejajar hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.
Katanya, pihaknya mahu pendidikan tinggi negara ini dikenali dunia, selain program akademik berkualiti, graduan mempunyai nilai tambah, misalnya boleh menguasai tiga ke empat bahasa.
“Mungkin boleh wujudkan kebitaraan dalam kalangan IPT yang menjuarai bahasa asing tertentu seperti bahasa Mandarin, Arab, Jepun, Korea, Sepanyol di samping menawarkan program berkualiti.
“Ini hanya satu cadangan mengenai bahasa, saya pasti IPT mempunyai lebih banyak idea boleh diketengahkan berkaitan kemahiran lain yang mampu memberi nilai tambah kepada graduan,” katanya. – UTUSAN ONLINE