Perjuangan basmi rasuah tiada dalam UMNO, Bersatu - Dr. Mahathir  - Utusan Malaysia

Perjuangan basmi rasuah tiada dalam UMNO, Bersatu – Dr. Mahathir 

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Penaja Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak sesekali membentuk kerjasama dengan UMNO selepas memutuskan tidak mahu bersama Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan, parti keramat kaum Melayu itu sudah kotor dan tidak relevan di hati rakyat negara ini. 

“UMNO sudah begitu kotor dan rakyat tidak boleh terima lagi. Parti ini sendiri sudah berpecah-belah. Segelintir lompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), satu lagi pengikut setia Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kem satu lagi pengikut Datuk Seri Najib Razak.

“Jika kita sertai mereka, sedikit sebanyak Pejuang akan terpalit dengan keburukan mereka,” katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif bersama media tempatan secara dalam talian dan disiarkan di Facebooknya bertajuk Tun M Jawab Isu Majlis Gerakan Negara (Mageran), Hala Tuju Parti. 

Pun begitu, kata Ahli Parlimen Langkawi itu, beliau tidak menolak sebarang bentuk kerjasama dengan parti yang sealiran dengan matlamat perjuangannya iaitu membasmi rasuah dan berkhidmat untuk rakyat. 

“Perjuangan kita juga adalah untuk bangsa, negara dan agama. Khusus melawan rasuah, jika latar belakang mereka benci kepada rasuah, kita boleh kerjasama tetapi jika kita dapati mereka jelas terlibat dengan rasuah. Kita tidak boleh kerjasama dengan mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengakui pernah mencuba mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Bagaimanapun, beliau mendakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak atas sebab beliau itu tidak mahu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan lagi atau memegang sebarang jawatan dalam PH jika mendapat sokongan majoriti. 

“Kita harap bila dapat sokongan cukup, PH boleh jadi kerajaan balik. Jadi pengikut saya tidak mahu saya dibelakangi dan minta saya jadi perdana menteri untuk tempoh enam bulan sahaja tetapi Anwar tidak mahu. Dia kata kalau dia tak jadi PM (perdana menteri), ‘no deal’.

“Jika saya tak jadi PM, pengikut saya tidak akan bersama saya dan jika saya tak jadi calon PM, saya akan kekurangan sokongan untuk jatuhkan kerajaan Muhyiddin. Pada dasarnya, bukan saya yang tolak Anwar, tetapi Anwar yang tolak saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya