Pergerakan rentas daerah, negeri masih tidak dibenarkan pada Fasa 2 PKP - Utusan Malaysia

Pergerakan rentas daerah, negeri masih tidak dibenarkan pada Fasa 2 PKP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan pada Fasa 2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali bagi pergerakan guru sekolah dan pelajar kelas-kelas peperiksaan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan rentas negeri bagi pasangan jarak jauh adalah dibenarkan, namun hanya bagi kes kecemasan dan khas sahaja dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun kata beliau, dalam tempoh Fasa 2 ini, senarai positif sektor yang dibenarkan beroperasi akan diperluaskan iaitu bagi sektor pembuatan melibatkan automotif (kenderaan dan komponen), seramik, kilang perabot bagi tujuan eksport, getah, besi dan keluli serta simen.

Bagi sektor perdagangan dan pengedaran pula katanya, ia dibenarkan untuk premis kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, barangan eletrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja).

Beliau memberitahu, semua aktiviti sukan dan rekreasi secara individu dan tidak bersentuhan fizikal dibenarkan dalam Fasa 2.

“Kebenaran beroperasi adalah dari pukul 8 pagi sehingga 8 malam. Operasi restoran, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk masih beroperasi dari 6.00 pagi sehingga 10.00 malam.

“Dalam Fasa 2, pasar tani dan pasar pagi dibenarkan beroperasi dari 7 pagi sehingga 11 pagi dan terhad kepada enam komoditi iaitu sayur sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging. Bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu bagi Fasa 3, semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi dan disenaraikan dalam senarai negatif seperti spa, pedicure dan manicure selain pub dan kelab malam.

Jelasnya, pergerakan rentas daerah dibenarkan sepanjang fasa 3 manakala pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

“Dine-in di restoran dibenarkan terhad kepada dua orang satu meja dengan mematuhi penjarakan fizikal. Bagi pengangkutan awam seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing termasuk kenderaan persendirian, jumlah kapasiti ditingkatkan kepada tiga orang termasuk pemandu.

“Pasar-pasar malam, pasar tani, pasar minggu dan pasar tamu juga dibenarkan beroperasi mengikut SOP semasa,” katanya.

Menurut beliau, salon kecantikan turut dibenarkan beroperasi ketika di Fasa 3 dengan mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan.

“Pembukaan sektor pendidikan termasuk sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Institut Latihan Kemahiran dan institusi-institusi pendidikan lain di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta agensi-agensi lain adalah tertakluk kepada Takwim KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi serta penilaian risiko semasa Kementerian Kesihatan.

“Aktiviti-aktiviti sosial masih tidak dibenarkan semasa Fasa 3. Bagaimanapun, kelonggaran untuk menerima tetamu atau pelawat di kediaman dibenarkan terhad kepada 10 orang dalam satu-satu masa,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri memberitahu, aktiviti pelancongan adalah dibenarkan dengan syarat pelancongan dalam negeri sahaja dan pembukaan tarikan pelancong masih tertakluk kepada penilaian risiko semasa dan SOP yang ketat.

Katanya, industri kreatif juga dibenarkan di Fasa 3 sebagai contoh acara langsung tanpa penonton.

“Fasa empat dapat dilaksanakan apabila bilangan kes Covid-19 adalah rendah, sistem kesihatan awam di tahap selamat dan program vaksinasi telah mencapai tahap imuniti berkelompok.

“Fasa terakhir ini akan membolehkan kita semua kembali semula kepada norma kehidupan seharian yang mana hampir kesemua sektor dibenarkan sepenuhnya tertakluk kepada SOP sedia ada yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, ini merupakan sebahagian senarai positif dan negatif bagi setiap fasa manakala SOP kekal seperti yang diumumkan dan maklumat lanjut secara terperinci boleh di akses di laman sesawang MKN (https://www.mkn.gov.my).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya