PETALING JAYA: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon menggesa proses vaksinasi staf-staf Parlimen dan pegawai-pegawai ahli Parlimen dipercepat bagi membolehkan Parlimen dapat dibuka segera.
Beliau membuat gesaan tersebut selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara, hari ini.
“Setiap butir kata Tuanku saya amati, pesanan dan kebijaksanaan Tuanku saya kutip dan simpan. Saya menjunjung kasih atas keprihatian dan kebijaksanaan Tuanku sebagai payung kepada negara ini. Saya diberi pula peluang untuk turut menyumbang buah fikiran dan khidmat jasa kepada negara di mana patik berteduh ini.
“Menjunjung titah Tuanku, kami bersedia membuka Parlimen secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, pembukaan Parlimen sudah dibentangkan kepada Ketua Majlis untuk pertimbangan.
“Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong mempertahan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan rakyat kebanyakan amat menyumbang kepada petugas barisan hadapan dan mengiktiraf kerja keras petugas kesihatan negara serta adalah amat memberi kesan kepada saya.
“Untuk kesekian kalinya, Tuanku sangat mengutamakan rakyat dan kebajikan mereka dengan sebaik-baiknya. Parlimen akan mengambil langkah perlu sebagai menjunjung kasih tuanku dalam mengimbangkan amalan demokrasi dan fungsi Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE