SEBENARNYA, isu penerapan intipati sesebuah drama yang diangkat untuk tontonan masyarakat di kaca televisyen sudah lama menjadi bahan perdebatan ramai.
Bukan sahaja kalangan pemain industri, tetapi ia juga menjadi bahan bualan khalayak umum yang meletakkan diri mereka sebagai penonton.
Sepatutnya, apabila penonton sudah mula bersuara dan mempersoalkan kualiti jalan cerita sesebuah drama tempatan yang disiarkan, pendapat mereka inilah yang wajar kita dengarkan dan ambil peduli.
Mereka lebih tahu apa yang dimahukan sebagai sajian minda walaupun atas tiket hiburan. Janganlah balik-balik melaungkan mantra yang sama “cerita yang macam ini penonton mahukan”.
Sudahnya, penonton sendiri meluahkan rasa mual. Iyalah, asyik-asyik penceritaan yang sama. Sehinggakan, ada yang sudah boleh meramal plot-plot seterusnya. Barangkali inilah yang diklasifikasikan sebagai drama konteks ‘makcik bawang’.
Pun begitu, benarkah pula penonton kita ini boleh menerima karya drama dalam konteks seni berat ala-ala penyusunan plot yang boleh bikin pecah kepala memikirkannya?
Perkongsian pendapat di bawah, mungkin mampu merungkaikan jawapan terhadap isu ini.
Tiada istilah ‘aku lebih hebat’ – Datuk Ayu
Bagi pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Ayu pula, isu drama siapa lebih bagus bukanlah satu yang harus diperdebatkan sebaliknya, semua produser perlu bersatu dalam keadaan yang getir ini.
“Bagi saya, tak perlu kita berbalah isu drama makcik bawang vs drama seni berat ini. Masing-masing ada peminat sendiri. Ada sahaja drama makcik bawang yang ditonton berjuta-juta orang. Begitu juga dengan drama seni berat.
“Kalau tak suka drama makcik bawang, tak apa. Banyak lagi drama boleh ditonton. Ada sahaja yang konon cakap tak suka atau geli tengok drama makcik bawang tetapi bohong semata! Tak perlu malu pun kalau suka layan drama begitu,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, penerbit drama dan filem jutaan tontonan ini juga menasihatkan rakan seindustri supaya tidak memperlekeh mana-mana karya atau naskhah sebaliknya saling sama menyokong untuk kelestarian bersama.
“Saya fikir di kala pandemik ini, ramai orang memilih untuk kerja dari rumah. Maka, pastinya mereka juga ada banyak masa untuk tonton drama atau filem tempatan. Ini masa sesuai untuk kita menghasilkan sesuatu yang baik.
“Sama ada drama itu ‘hampeh’ atau tidak, terpulang kepada penonton. Kita sebagai penerbit belajar daripada kritikan dan pandangan bernas. Jangan pula saling berbalah siapa lebih hebat. Sampai ke sudah tak dapat pemenang,” katanya.
Ada berat, ada ringan. Pilih sahaja – Rosyam Nor
Sukar untuk mendapatkan data drama makcik bawang hanya ditonton oleh warga emas sahaja, bagi penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor, isu tersebut tidak seharusnya diperdebatkan sama sekali.
“Kita tak boleh nak cakap drama makcik bawang ini ditonton oleh warga emas sahaja sahaja. Kita tidak ada data untuk membuktikan. Drama yang popular selalu tular di media sosial yang penggunanya tidak kira lapisan umur.
“Apa yang penting adalah kita sebagai penerbit menghasilkan drama berkualiti dan memberi iktibar kepada penonton. Tak perlu ada komen atau kenyataan yang boleh menjatuhkan sesiapa,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, jelas Rosyam, peminat drama atau filem juga mempunyai pilihan untuk menonton karya-karya yang ditayangkan di pelbagai platform. Tiada siapa yang mengawal remote di tangan.
“Ada drama yang ringan, ada juga yang berat. Semua ada peminat sendiri. Mereka juga boleh memilih drama atau filem yang mahu ditonton. Itu terpulang kepada penonton sendiri.
“Kita sebagai penerbit memang ada ‘persaingan’. Masing-masing mahu mencari cerita terbaik untuk dihasilkan. Kita sendiri menghasilkan drama untuk sajian penonton dan mengajar mereka tentang kehidupan,” katanya.
Penonton ada cita rasa sendiri – Aida Othman
Mengambil isu mengenai perbalahan kenyataan karya siapa lebih bercorak makcik bawang, penerbit Aida Othman tidak menafikan bahawa sesebuah drama yang dihasilkan itu harus mengikut selera penonton.
Menurutnya, setiap pemain industri memiliki peranan dan kelebihan tersendiri ketika menghasilkan sesebuah karya. Namun, sikap untuk menuding jari mengenai siapa lebih bagus tidak sepatutnya berlaku.
“Semua orang ada cita rasa sendiri. Baik penonton mahupun orang dalam industri sendiri tak kira apa genre yang dihasilkan. Kita dalam industri yang sama. Sebagai seorang individu dan penerbit, saya suka menghargai pelbagai karya.
“Masing-masing ada kelebihan dan kekuatan sendiri dalam menghasilkan karya yang bagus. Seharusnya kita hargai penulis-penulis yang ada dalam industri sebab tanpa mereka ini, tak adalah sesebuah karya.
“Bukan semua penerbit atau pengarah pandai buat skrip. Jadi kita harus raikan kelebihan yang mereka ada ini untuk menghasilkan skrip dan jalan cerita yang lebih berkualiti dan ada mesejnya dalam apa sahaja genre. Sebab pada akhirnya, karya kita akan dinilai oleh penonton,”katanya.
Selain itu, kata penerbit drama Hati Yang Tersakiti dan Derita Untuk Bahagia ini, dalam keadaan sekarang, pemain-pemain industri seharusnya bangkit untuk saling menyokong apa lagi industri kreatif ini majoritinya diperankan oleh orang Melayu.
“Kalau bukan kita orang Melayu sokong sesama sendiri, siapa lagi? Tak kiralah kita ini baru satu atau dua, atau berpuluh buah drama yang sudah dihasilkan, junior atau senior, kita semua sama. Bukan kita yang menentukan kita ini hebat atau tidak.
“Jangan risaulah label makcik bawang itu, sebab kalau cerita itu trending dan menjadi kesukaan penonton, ramai sahaja yang tergolong dalam kategori makcik bawang,”katanya.