MUNICH: Pengendali skuad Perancis, Didier Deschamps merasakan pasukannya berada dalam keadaan selesa terutama selepas menundukkan Jerman dalam aksi pembukaan Euro 2020.
Jaringan sendiri Mats Hummels menyaksikan juara dunia itu meraih kemenangan tipis 1-0 di Allianz Arena.
Pertahanan berpengalaman itu gagal mengelakkan kakinya menyebabkan hantaran Lucas Hernandez menerjah masuk gawang yang dijaga Manuel Neuer selepas 20 minit aksi Kumpulan F berlangsung.
Jaringan Kylian Mbappe dan Karim Benzema dibatalkan kerana ofsaid namun ia tidak menghalang Perancis untuk meraih tiga mata penting dalam perlawanan itu.
“Kami bermain dengan baik menentang lawan yang hebat. Saya tahu pemain-pemain saya sudah bersedia untuk perlawanan ini.
“Kami hampir menjaringkan gol kedua yang boleh meletakkan kami dalam keadaan selesa tetapi kami tidak begitu bergelut pada separuh masa kedua. Perlawanan yang bagus dan berkualiti,” kata Deschamps.
Paul Pogba dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan dan dia menjadi punca Hummels menjaringkan gol sendiri dalam perlawanan itu.
“Kami fokus kepada matlamat kami semasa di dalam padang. Kami harus beraksi selaras dengan gelaran juara dunia,” kata Pogba. – AGENSI