LONDON: Penyokong Scotland mula hadir ke kota London menjelang perlawanan menentang England dalam saingan Euro 2020, esok
Penyokong Tartan Army itu dirakam memenuhi stesen King Cross, hari ini dengan bendera dan pelbagai sepanduk serta bagasi masing-masing.
Malah, mereka berharap untuk berarak ke Hyde Park, sekalipun tiada skrin besar untuk menayangkan perlawanan berkenaan.
Sebanyak 3,000 tiket disediakan untuk penyokong Scotland daripada 21,500 keseluruhan tiket yang sudah habis dijual untuk aksi di Stadium Wembley itu.
Bagaimanapun, dijangka antara 6,000 hingga 20,000 penyokong Scotland merancang untuk datang ke selatan apabila semua tiket kereta api dari Glasgow dan Edinburgh ke London, sudah habis dijual.
Kali terakhir England bertemu Scotland adalah pada Euro 1996 dengan The Three Lions menang 2-0.
Penyokong Scotland digesa tidak datang tanpa tiket atau mencari tempat selamat untuk menyaksikan perlawanan bersejarah itu.-AFP