SEJARAH pahit dan manis bakal tercatat pagi esok di Stadium La Cartuja, Seville, Sepanyol apabila Belgium dan Portugal berentap dalam pusingan kalah mati.
Belgium turun dengan mengekalkan taktik menyerang, manakala Portugal yang membariskan penyerang handalan akan memastikan mereka layak ke suku akhir.
“Kami tidak dapat mengubah siapa kami. Kami adalah pasukan yang dinamis yang dibina untuk menyerang dan menjaring gol secepat mungkin, tetapi kami harus bersabar.
“Kita harus membuat keputusan yang tepat, bila harus bersabar dan bila waktunya untuk menyerang balas. Kami penuh yakin untuk melakukan itu,” kata Jurulatih Belgium, Roberto Martinez dalam sidang akhbar kelmarin.
Pemain pertahanan Belgium, Toby Alderweireld pula berkata, Portugal sudah biasa bertanding dalam kejohanan besar di samping memiliki pemain dan penyerang yang bagus seperti Cristiano Ronaldo.
“Tetapi kami juga sebagai sebuah pasukan yang mampu mengancam lawan, kami yakin dapat menghentikannya. Itu selalu menjadi kekuatan kami,” katanya.
Seperti Portugal yang memiliki Ronaldo dan Joao Felix, Belgium juga miliki penyerang berbisa, Eden Hazard dan Romelu Lukaku.
Lukaku yang berusia lapan tahun lebih muda daripada Ronaldo, kini memiliki rekod 63 gol untuk negaranya juga bakal menjadi ancaman kepada Portugal.
Malah Lukaku juga dikatakan bakal menjadi pencabar kepada Ronaldo sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Sementara itu, jurulatih Portugal, Fernando Santos menawarkan formula yang lebih mudah.
“Perlawanan ini seperti final sekarang dan jika anda tidak bermain dengan baik, anda tidak akan menang.
“Dalam pertandingan liga, anda boleh bermain dengan teruk dan masih boleh menang tetapi di sini pada kejohanan ini, pada peringkat ini jika anda tidak bermain dengan baik, anda akan kalah… setiap masa,” katanya kepada wartawan.
Biarpun pengendali pasukan dengan taktikal dan formasi masing-masing, yang pastinya gol daripada penyerang berbisa sama ada Ronaldo, Joao Felix, Hazard atau Lukaku akan jadi penentu sama ada Belgium atau Portugal yang akan layak ke suku akhir. – AGENSI